Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran
Oleh ADHAM SHADAN
QAYYIM
merupakan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan
Khas peringkat negeri Kelantan dua tahun lalu.
|
VISUAL matanya kabur dan
kelam kerana penyakit hipoplastik tahap tiga yang dihidapi sejak lahir. Namun,
pendengarannya barangkali lebih tajam, sentuhan jarinya lebih peka dan hatinya
lebih terang berbanding insan lain yang sempurna.
Muhammad Qayyim Nizar
Sarimi, murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor,
Kelantan ini istimewa.
Bukan sahaja kerana dia
seorang kelainan upaya tapi juga kerana kemampuannya menjadi johan qari tilawah
al-Quran yang menewaskan peserta-peserta normal di negara ini sejak di bangku
sekolah rendah.
Ketika sesetengah
kanak-kanak, remaja atau dewasa lain masih merangkak-rangkak membaca al-Quran
dengan batang lidi sebagai penunjuk, Qayyim melarikan jarinya di atas
timbulan-timbulan bintik pada kertas kitab al-Quran Braille dan mengalun bacaan
penuh fasih dihiasi bunga taranum.
Demam kuning
Qayyim, 14, semasa
bayinya pernah mendiami inkubator selama hampir sebulan ekoran demam kuning
bukan sahaja bergelar Johan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah
Kebangsaan 2012 dan 2013 bahkan naib johan program televisyen, Adik-Adikku dan
pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas
peringkat negeri Kelantan pada tahun 2011 dengan 3A 2B. Malah, dia diberi
penghormatan memperdengarkan bacaan pada majlis akad nikah mempelai diraja,
adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri dengan anak saudara Sultan
Brunei, Pengiran Muda Abdul Qawi tempoh hari.
Anak kepada bekas pemain
bola sepak Kelantan skuad Semi Pro 1989, Sarimi Yusoff, 48 dan guru bahasa
Inggeris, Rozan Mohamed, 40, ini juga pandai bermain alat muzik dan mampu
memainkan lagu yang didengarinya dengan keyboard hanya dengan intuisi sendiri,
tanpa dilatih.
Sarimi berkata, anaknya
itu mempunyai telinga yang cepat menangkap. Sebelum memasuki sekolah dia
membaca al-Quran melalui pendengaran dan hafazan.
“Minatnya untuk membaca
al-Quran tercetus sendiri apabila mendengar bacaan ayat suci itu di televisyen
atau cakera padat yang dipasang di rumah atau kereta. Dia mendengar dan
menghafalnya.
“Hanya selepas masuk
darjah satu di sekolah rendah barulah dia belajar membaca al-Quran secara
Braille. Dia belajar mengenal huruf al-Quran dengan seorang guru yang cacat
penglihatan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Sarimi memberitahu,
menjadi rutin anaknya setiap malam sebelum tidur untuk mendengar bacaan
al-Quran imam-imam terkenal yang dipasang pada komputernya sehingga matanya
terlelap.
Pada bulan Ramadan, dia
akan tidur awal dan minta dikejutkan sekitar pukul 2.30 pagi untuk mendengar
bacaan imam tarawih di Masjidilharam, Mekah yang disiarkan secara langsung di
televisyen. Kemudian, dia terus bersahur. Sarimi memberitahu ada imam dari
Mesir yang mengenali anak sulung daripada lima beradik itu seperti Sheikh
Hisyam Abdul Bari yang dijemput menjadi imam solat tarawih di Kelantan.
QAYYIM
(dua dari kanan) bersama kedua-dua ibu bapa dan adik-beradiknya.
Qayyim juga boleh
memainkan pelbagai alat muzik seperti gendang dan bongo. Dia meminati keyboard
dan boleh memainkannya untuk sesuatu lagu selepas hanya dua atau tiga jam
mendengarnya.
Seorang yang tidak
banyak bercakap, Qayyim seorang yang berhati-hati ketika bertutur. Hakikatnya,
Qayyim bukanlah tidak nampak langsung tetapi dia melihat pada jarak yang
terlalu dekat.
Kesempatan menemui
Qayyim di sekolahnya baru-baru ini menggambarkan betapa dia seorang yang tegar
dengan kekurangan yang dimilikinya. Dia selesa berjalan tanpa dipimpin, bergaul
dengan murid normal dan menaip di mesin braille.
Suara lunak
Remaja
berkulit cerah itu agak malu-malu untuk diwawancara namun apabila dia
memperdengarkan bacaan surah Luqman menggunakan al-Quran Braille yang terdapat
di dalam bilik Kelab
Braille al-Quran sekolah tersebut, suara lunaknya yang berkumandang dan
kefasihannya membaca al-Quran amat mempesonakan.
“Saya suka baca
al-Quran, bila baca al-Quran hati saya tenang. Tidak kira bagaimanapun kita,
kita kena memuliakan al-Quran,” katanya yang memberitahu dia sudah menghafal
dua juzuk al-Quran.
Qayyim berkata, dia
belajar mengaji al-Quran Braille semasa darjah satu dan mengambil masa setahun
untuk mahir membaca. Taranum pula dipelajari daripada seorang ustaz di sekolah
rendahnya.
Meskipun dia dilihat
cenderung pada bidang agama, apabila ditanya akan cita-citanya, Qayyim menjawab
dengan menguntum senyum: “Saya mahu menjadi guru Bahasa Inggeris.”
Guru pendidikan khas
yang bertanggungjawab menjadi pengantara antara Qayyim dan guru-guru yang
mengajarnya, Nor Safarin Shamshudden berkata, Qayyim seorang yang sangat
memanfaatkan pendengaran dan ingatannya.
“Dia cekap dalam hal-hal
yang menggunakan deria dengar dan mengingat. Sebab itu, dia bagus dalam
subjek-subjek bahasa. Guru Bahasa Arabnya berkata, Qayyim lebih mudah dan cepat
menerima pelajaran Bahasa Arab berbanding murid-murid lain (normal). Bila dia
sebut, siap dengan lahjah (bunyi loghat) Arab,” katanya.
Nor Safarin memberitahu,
SMKA Melor merupakan sekolah pertama atau perintis bagi penubuhan Kelab Braille
Al-Quran di negara ini iaitu pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan
Pendidikan Islam dan Moral dan Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Pengetua sekolahnya,
Ahmad Sulaiman berpendapat, Qayyim murid yang berpotensi tinggi, berkeyakinan,
popular dan disenangi semua.
“Dia berbakat. Apa yang
ada padanya ialah anugerah Tuhan,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2eB3LjXmf
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment