Trend
sorok wayar Honda Civic EG
Oleh IRWAN ASRI MOHD.
NOR
BAHAGIAN
belakang dikekalkan imej kemas tanpa pemasangan kit badan berlebihan.
SAYA tidak boleh nafikan
bahawa trend ini semakin menular dalam dunia modifikasi di Malaysia. Dikenali
sebagai wire tuck atau sorok wayar, ia dibuat supaya ruang enjin kereta nampak
bersih dan kemas.
Honda EG itu merupakan
salah satu contoh bagaimana wire tuck boleh membuatkan sesebuah kereta
menyerlah. Saya yakin, ramai yang cemburu dan makan sakit hati apabila melihat
ruang enjin boleh jadi secantik ini.
Kemudian, mungkin ramai
yang kata, “Ah... enjin VTEC, bolehlah buat, wayar tak banyak.”
Itu kenyataan yang salah.
Sebenarnya kaedah wire tuck boleh dibuat ke atas apa jua jenis enjin. Cuma
enjin VTEC lebih senang kerana kit wire tuck untuknya banyak dijual di pasaran.
Apabila guna kit,
separuh daripada kerja sudah pun siap. Kit itu memudahkan kerja menyatukan wayar-wayar
lama kepada satu atau dua soket sahaja. Tetapi harus tahu bahawa kit tersebut
bukanlah murah. Saya kurang pasti sama ada ia sudah dijual secara rasmi atau
tidak di Malaysia.
Selain menggunakan kit,
kaedah kedua adalah dengan melakukannya sendiri secara manual. Namun, ia
memerlukan kepakaran yang tinggi. Sebabnya, kalau tersilap buat masalah lain
pula yang timbul nanti.
Kaedah ini apabila sudah
sampai tahap ekstrem, jadilah seperti Honda Civic EG itu. Tidak perlu penyaman
udara dan stereng kuasa. Cuma enjin semata-mata, malah crossmember pun dibuang.
Ini adalah antara
kelompok terawal yang main wire tuck di Pulau Pinang. Mereka bergerak dalam
kumpulan kecil. Tetapi apa yang pasti, semua kereta memang sangat kemas dan
bersih. Sekali tengok rasa macam kereta di Amerika Syarikat.
Nama kumpulan mereka
juga unik iaitu Kopi Tatt. Pengasasnya ialah Lee Eng Tatt yang juga pemilik
Civic EG ini.
SET
roll cage enam poin Cusco dipasang pada Civic EG.
Dari luar, Civic
tersebut kelihatan seperti tidak mengalami banyak perubahan. Sepasang fender
depan yang dibuat lubang untuk aliran udara, spoiler Spoon di belakang, cermin
sisi Spoon jenis karbon dan lips Mugen.
Pada awalnya, jentera
itu tidaklah terlalu menarik perhatian. Namun, persepsi saya berubah apabila
Tatt membuka bonet enjinnya. Sungguh tidak sangka ruang dalaman dan enjinnya
boleh jadi cantik sampai begitu sekali.
Trend Civic EG sebegini
sudah jadi perkara biasa di Amerika Syarikat.
Melihat kepada ruang
dalamannya, set roll cage enam poin jenama Cusco telah dipasang. Stereng Mugen
FG360 yang sangat sukar ditemui pula akan membuatkan sesiapa sahaja berasa
kagum.
Mungkin ada yang perasan
bahawa rimnya tidak terkeluar. Itulah perkara yang saya hendak cerita. Geng
Kopi Tatt lebih dipengaruhi gaya Jepun pada rimnya. Rim Spoon SW388 15 inci
dipadankan dengan tayar Advan Neova AD08 195/55/15.
Suspensinya digantikan
dengan set boleh laras Cusco bersama brek Mugen dan cakera bersaiz 282mm
Project U. Sangatlah sakit jiwa tengok kereta yang nampak sempoi tapi breknya
sama harga dengan kos hendak pergi umrah. Brek belakangnya, DC5 dengan cakera
Spoon. Sistem brek itu kemudian diperkuatkan dengan silinder utama Wilwood.
Adakah enjin kereta itu
laju macam roket? Dimodifikasi sampai tahap kalis peluru? Tidak. Kereta itu
masih dipandu sebagai pengangkutan harian, tanpa penyaman udara dan stereng
kuasa.
Ini bukanlah benda
kelakar. Memang realiti sebab kelompok begini tidak kisah pun panas dan penat
tangan memulas stereng. Setiap kali panas, berenti tepi jalan, bukak enjin
tengok radiator Koyo dengan enjin berkilat-kilat boleh buat hati jadi sejuk.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_02.htm#ixzz2eB56Yyfu
Hakcipta terpelihara