Friday, 6 September 2013

 Trend sorok wayar Honda Civic EG

Oleh IRWAN ASRI MOHD. NOR


BAHAGIAN belakang dikekalkan imej kemas tanpa pemasangan kit badan berlebihan.


SAYA tidak boleh nafikan bahawa trend ini semakin menular dalam dunia modifikasi di Malaysia. Dikenali sebagai wire tuck atau sorok wayar, ia dibuat supaya ruang enjin kereta nampak bersih dan kemas.
Honda EG itu merupakan salah satu contoh bagaimana wire tuck boleh membuatkan sesebuah kereta menyerlah. Saya yakin, ramai yang cemburu dan makan sakit hati apabila melihat ruang enjin boleh jadi secantik ini.
Kemudian, mungkin ramai yang kata, “Ah... enjin VTEC, bolehlah buat, wayar tak banyak.”
Itu kenyataan yang salah. Sebenarnya kaedah wire tuck boleh dibuat ke atas apa jua jenis enjin. Cuma enjin VTEC lebih senang kerana kit wire tuck untuknya banyak dijual di pasaran.
Apabila guna kit, separuh daripada kerja sudah pun siap. Kit itu memudahkan kerja menyatukan wayar-wayar lama kepada satu atau dua soket sahaja. Tetapi harus tahu bahawa kit tersebut bukanlah murah. Saya kurang pasti sama ada ia sudah dijual secara rasmi atau tidak di Malaysia.
Selain menggunakan kit, kaedah kedua adalah dengan melakukannya sendiri secara manual. Namun, ia memerlukan kepakaran yang tinggi. Sebabnya, kalau tersilap buat masalah lain pula yang timbul nanti.
Kaedah ini apabila sudah sampai tahap ekstrem, jadilah seperti Honda Civic EG itu. Tidak perlu penyaman udara dan stereng kuasa. Cuma enjin semata-mata, malah crossmember pun dibuang.
Ini adalah antara kelompok terawal yang main wire tuck di Pulau Pinang. Mereka bergerak dalam kumpulan kecil. Tetapi apa yang pasti, semua kereta memang sangat kemas dan bersih. Sekali tengok rasa macam kereta di Amerika Syarikat.
Nama kumpulan mereka juga unik iaitu Kopi Tatt. Pengasasnya ialah Lee Eng Tatt yang juga pemilik Civic EG ini.


SET roll cage enam poin Cusco dipasang pada Civic EG.


Dari luar, Civic tersebut kelihatan seperti tidak mengalami banyak perubahan. Sepasang fender depan yang dibuat lubang untuk aliran udara, spoiler Spoon di belakang, cermin sisi Spoon jenis karbon dan lips Mugen.
Pada awalnya, jentera itu tidaklah terlalu menarik perhatian. Namun, persepsi saya berubah apabila Tatt membuka bonet enjinnya. Sungguh tidak sangka ruang dalaman dan enjinnya boleh jadi cantik sampai begitu sekali.
Trend Civic EG sebegini sudah jadi perkara biasa di Amerika Syarikat.
Melihat kepada ruang dalamannya, set roll cage enam poin jenama Cusco telah dipasang. Stereng Mugen FG360 yang sangat sukar ditemui pula akan membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum.
Mungkin ada yang perasan bahawa rimnya tidak terkeluar. Itulah perkara yang saya hendak cerita. Geng Kopi Tatt lebih dipengaruhi gaya Jepun pada rimnya. Rim Spoon SW388 15 inci dipadankan dengan tayar Advan Neova AD08 195/55/15.
Suspensinya digantikan dengan set boleh laras Cusco bersama brek Mugen dan cakera bersaiz 282mm Project U. Sangatlah sakit jiwa tengok kereta yang nampak sempoi tapi breknya sama harga dengan kos hendak pergi umrah. Brek belakangnya, DC5 dengan cakera Spoon. Sistem brek itu kemudian diperkuatkan dengan silinder utama Wilwood.
Adakah enjin kereta itu laju macam roket? Dimodifikasi sampai tahap kalis peluru? Tidak. Kereta itu masih dipandu sebagai pengangkutan harian, tanpa penyaman udara dan stereng kuasa.
Ini bukanlah benda kelakar. Memang realiti sebab kelompok begini tidak kisah pun panas dan penat tangan memulas stereng. Setiap kali panas, berenti tepi jalan, bukak enjin tengok radiator Koyo dengan enjin berkilat-kilat boleh buat hati jadi sejuk.

Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran
Oleh ADHAM SHADAN
QAYYIM merupakan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan dua tahun lalu.



VISUAL matanya kabur dan kelam kerana penyakit hipoplastik tahap tiga yang dihidapi sejak lahir. Namun, pendengarannya barangkali lebih tajam, sentuhan jarinya lebih peka dan hatinya lebih terang berbanding insan lain yang sempurna.
Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Kelantan ini istimewa.
Bukan sahaja kerana dia seorang kelainan upaya tapi juga kerana kemampuannya menjadi johan qari tilawah al-Quran yang menewaskan peserta-peserta normal di negara ini sejak di bangku sekolah rendah.
Ketika sesetengah kanak-kanak, remaja atau dewasa lain masih merangkak-rangkak membaca al-Quran dengan batang lidi sebagai penunjuk, Qayyim melarikan jarinya di atas timbulan-timbulan bintik pada kertas kitab al-Quran Braille dan mengalun bacaan penuh fasih dihiasi bunga taranum.
Demam kuning

Qayyim, 14, semasa bayinya pernah mendiami inkubator selama hampir sebulan ekoran demam kuning bukan sahaja bergelar Johan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan 2012 dan 2013 bahkan naib johan program televisyen, Adik-Adikku dan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan pada tahun 2011 dengan 3A 2B.Malah, dia diberi penghormatan memperdengarkan bacaan pada majlis akad nikah mempelai diraja, adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri dengan anak saudara Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Qawi tempoh hari.
Anak kepada bekas pemain bola sepak Kelantan skuad Semi Pro 1989, Sarimi Yusoff, 48 dan guru bahasa Inggeris, Rozan Mohamed, 40, ini juga pandai bermain alat muzik dan mampu memainkan lagu yang didengarinya dengan keyboard hanya dengan intuisi sendiri, tanpa dilatih.
Sarimi berkata, anaknya itu mempunyai telinga yang cepat menangkap. Sebelum memasuki sekolah dia membaca al-Quran melalui pendengaran dan hafazan.
“Minatnya untuk membaca al-Quran tercetus sendiri apabila mendengar bacaan ayat suci itu di televisyen atau cakera padat yang dipasang di rumah atau kereta. Dia mendengar dan menghafalnya.
“Hanya selepas masuk darjah satu di sekolah rendah barulah dia belajar membaca al-Quran secara Braille. Dia belajar mengenal huruf al-Quran dengan seorang guru yang cacat penglihatan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Sarimi memberitahu, menjadi rutin anaknya setiap malam sebelum tidur untuk mendengar bacaan al-Quran imam-imam terkenal yang dipasang pada komputernya sehingga matanya terlelap.
Pada bulan Ramadan, dia akan tidur awal dan minta dikejutkan sekitar pukul 2.30 pagi untuk mendengar bacaan imam tarawih di Masjidilharam, Mekah yang disiarkan secara langsung di televisyen. Kemudian, dia terus bersahur. Sarimi memberitahu ada imam dari Mesir yang mengenali anak sulung daripada lima beradik itu seperti Sheikh Hisyam Abdul Bari yang dijemput menjadi imam solat tarawih di Kelantan.

QAYYIM (dua dari kanan) bersama kedua-dua ibu bapa dan adik-beradiknya.


Qayyim juga boleh memainkan pelbagai alat muzik seperti gendang dan bongo. Dia meminati keyboard dan boleh memainkannya untuk sesuatu lagu selepas hanya dua atau tiga jam mendengarnya.
Seorang yang tidak banyak bercakap, Qayyim seorang yang berhati-hati ketika bertutur. Hakikatnya, Qayyim bukanlah tidak nampak langsung tetapi dia melihat pada jarak yang terlalu dekat.
Kesempatan menemui Qayyim di sekolahnya baru-baru ini menggambarkan betapa dia seorang yang tegar dengan kekurangan yang dimilikinya. Dia selesa berjalan tanpa dipimpin, bergaul dengan murid normal dan menaip di mesin braille.
Suara lunak
Remaja berkulit cerah itu agak malu-malu untuk diwawancara namun apabila dia memperdengarkan bacaan surah Luqman menggunakan al-Quran Braille yang terdapat di dalam bilik Kelab Braille al-Quran sekolah tersebut, suara lunaknya yang berkumandang dan kefasihannya membaca al-Quran amat mempesonakan.
“Saya suka baca al-Quran, bila baca al-Quran hati saya tenang. Tidak kira bagaimanapun kita, kita kena memuliakan al-Quran,” katanya yang memberitahu dia sudah menghafal dua juzuk al-Quran.
Qayyim berkata, dia belajar mengaji al-Quran Braille semasa darjah satu dan mengambil masa setahun untuk mahir membaca. Taranum pula dipelajari daripada seorang ustaz di sekolah rendahnya.
Meskipun dia dilihat cenderung pada bidang agama, apabila ditanya akan cita-citanya, Qayyim menjawab dengan menguntum senyum: “Saya mahu menjadi guru Bahasa Inggeris.”
Guru pendidikan khas yang bertanggungjawab menjadi pengantara antara Qayyim dan guru-guru yang mengajarnya, Nor Safarin Shamshudden berkata, Qayyim seorang yang sangat memanfaatkan pendengaran dan ingatannya.
“Dia cekap dalam hal-hal yang menggunakan deria dengar dan mengingat. Sebab itu, dia bagus dalam subjek-subjek bahasa. Guru Bahasa Arabnya berkata, Qayyim lebih mudah dan cepat menerima pelajaran Bahasa Arab berbanding murid-murid lain (normal). Bila dia sebut, siap dengan lahjah (bunyi loghat) Arab,” katanya.
Nor Safarin memberitahu, SMKA Melor merupakan sekolah pertama atau perintis bagi penubuhan Kelab Braille Al-Quran di negara ini iaitu pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dan Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pengetua sekolahnya, Ahmad Sulaiman berpendapat, Qayyim murid yang berpotensi tinggi, berkeyakinan, popular dan disenangi semua.
“Dia berbakat. Apa yang ada padanya ialah anugerah Tuhan,” katanya.
Juara bertahan tumbang


MURRAY menghempaskan raketnya ke lantai gelanggang sebagai manifestasi kepada kekecewaannya ketika perlawanan menentang Wawrinka, kelmarin.


NEW YORK - Buat sekian kalinya, Andy Murray berdepan kekecewaan apabila tersingkir dari kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas tewas mengejut kepada Stanislas Wawrinka pada peringkat suku akhir, kelmarin.
Wawrinka yang beraksi selaku pemain pilihan kesembilan mengejutkan juara bertahan dan Wimbledon itu untuk mara ke saingan separuh akhir selepas mencatat kemenangan 6-4, 6-3, 6-2.
"Saya rasa amat hebat. Sangat gembira dan menakjubkan kerana saya akan berada di saingan separuh akhir acara Grand Slam buat pertama kali.

"Untuk menewaskan Murray, saya memerlukan tiga set dan terpaksa bermain dengan baik sekali," ujar pemain berusia 28 tahun dari Switzerland itu.Dalam saingan separuh akhir nanti, Wawrinka dijadualkan bertemu pemain No.1 dunia, Novak Djokovic yang mudah menewaskan pemain Rusia, Mikhail Youzhny 6-3, 6-2, 3-6, 6-0 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Bagaimanapun rekod pertemuan Wawrinka ke atas Djokovic agak buruk iaitu 2-12 termasuk tewas di pusingan keempat Terbuka AS tahun lalu.
Dalam pada itu, Murray yang tersingkir buat kali kedua dalam 146 perlawanan Grand Slam, mengakui melakukan beberapa kesilapan.
"Dia (Wawrinka) bermain dengan baik sekali dan itu adalah perkara paling sukar sekali.
"Dia membalas pukulan dengan baik dan saya sendiri tidak berpeluang mencipta break point. Pukulan servis yang dilakukannya juga hebat.
"Saya sepatutnya bermain dengan lebih baik. Agak memalukan bermain dalam keadaan yang tidak begitu baik seperti ini," kata Murray. - AFP
Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjqDRKiO7bI-JcUsioLThCKxIURUROg_D7EfnAkF5CGxDcza1zYcm22Z2aqn3IxnLFE_jee7kKjP1xQ27OeruWORLJQ2F5qajJ_3ge4IJqSUbdYw-8AqAUMYiyUW-wk_YRKPVMCd7CZlS4/h120/fvevg.jpg
ERRA FAZIRA mengaku dia berhutang penjelasan dengan masyarakat terhadap keadaan rumah tangganya.



PADA saat suhu industri seni tempatan sedang dilanda kisah kontroversi kes penceraian pelakon Rita Rudaini dan pemain bola sepak Aidil Zafuan, kemelut rumah tangga pelakon jelita Erra Fazira tidak terlepas menjadi buruan.
Seringkali menolak untuk memberikan jawapan konkrit mahu pun menyimpulkan status rumah tangganya bersama Engku Emran Zainal Abidin, Erra sebelum ini sekadar memberikan kenyataan secara umum dan menyifatkan rumah tangga mereka masih stabil.
Kesempatan bertemu dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu ketika pelancaran wangian terbaharu Estee Lauder di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut mengenai status terkini mahligai Erra.
Ini kerana, sehingga kini, kestabilan rumah tangga mereka terus menjadi tanda-tanya. Erra, saat ditemui tenang menjawab soalan daripada pihak media, namun pintanya, jangan terlalu dikorek kisah rumah tangganya kerana saat tiba masanya, dia sendiri yang akan memberitahu kepada umum.
Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan peribadi Erra sekarang?
Erra Fazira: Saya sentiasa menyibukkan diri dengan bekerja, tapi tanggungjawab terhadap anak dan sebagai ibu masih berjalan seperti biasa. Saya juga akan pastikan jadual sebagai artis dan kepada keluarga seimbang sebaik mungkin.

Umum sudah tahu kisah rumah tangga anda dan Engku Emran yang didakwa sedang bergolak masih belum diperjelaskan dengan lebih mendalam. Sekuat manakah ikatan perkahwinan kalian hingga hari ini?Kuat tidak kuat, kita sudah ada anak bersama-sama dan ikatan itu tetap ada disebabkan dia merupakan bapa kepada anak saya. Dia juga seorang bapa yang baik.
Komen anda mengenai status rumah tangga anda terkini?
Sudah beberapa tahun saya mendengar gosip rumah tangga saya yang goyah dan saya melalui perkara ini dengan tenang dan normal. Sama ada betul atau tidak, saya ketepikan cerita-cerita buruk mengenai saya sebab sudah terlalu penat. Saya mahu lalui kehidupan dengan tenang dan aman.

Farid, Diana dedah nama anak di TV

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my




SETELAH bergelar bapa selama dua bulan, pengarah dan pelakon terkenal Farid Kamil masih berteka-teki berhubung nama anak lelakinya yang masih lagi dirahsiakan sehingga sekarang.
Ketika bertemu dengan Farid semasa majlis pratonton filem Dampak baru-baru ini, suami kepada pelakon Diana Danielle itu hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan mengenai nama anaknya.
Meskipun masih lagi terus berahsia dan sekadar memberitahu Muhammad sebagai pangkal nama cahaya mata sulungnya itu, Farid menyatakan ia hanya akan diumumkan dalam satu majlis khatam Al-Quran dan akikah yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, ketika ini isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan kedua-duanya berada di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama kedua-dua ibu bapanya.
Kosmo!: Sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya tentang nama anak Farid setelah dua bulan bergelar bapa. Adakah Farid masih lagi mahu berahsia mengenainya?
FARID: Buat masa ini saya masih belum bersedia untuk mendedahkan nama sebenar anak saya. Apa yang boleh dijelaskan sekarang, namanya akan didedahkan dalam sebuah majlis nanti.
Mengikut perancangan saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain, kami akan mengadakan majlis khatam Al-Quran dan akikah. Namun begitu, kami masih belum memilih tarikh yang sesuai lagi.



Mengapakah Farid memilih majlis tersebut untuk mengumumkan nama anak?
Sebenarnya majlis itu nanti akan diberi hak eksklusif kepada Astro untuk menyiarkannya di kaca televisyen. Bagi kami, ia merupakan masa yang paling sesuai untuk umumkan nama sebenar anak saya.
Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan antara Astro dan Metrowealth. Jadi, kami menyerahkan segala urusan kepada Metrowealth dan kami bersetuju dengan segala perancangan yang dibuat.
Sudah tentu Farid dan Diana mendapat tawaran yang lumayan daripada pihak Astro untuk hak eksklusif berkenaan. Adakah Farid boleh dedahkan jumlah bayaran yang akan diterima?
Tentang bayaran itu saya dan isteri memang tidak tahu-menahu mengenainya. Semuanya bergantung kepada Metrowealth apabila melakukan rundingan dengan pihak Astro.
Bagaimanakah dengan keadaan Diana dan anak?
Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, isteri dan anak sudah pulang ke Malaysia dan kini mereka berada di kampung halaman saya di Alor Setar. Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan anak saya kini semakin aktif, manakala Diana pula masih lagi dalam berpantang dan dijaga sepenuhnya oleh ibu saya.
Adakah Diana sudah menamatkan pengajiannya di Australia?
Kalau diikutkan masih lagi ada enam bulan untuk Diana menamatkan keseluruhan pengajiannya dalam bidang penerbitan di National Institute of Dramatic Art (NIDA) di Sydney. Namun, keputusan masih belum dibuat sama ada dia sambung atau tidak.Bagaimanakah kehidupan Farid sekarang setelah bergelar seorang ayah?Sekarang ini saya perlu menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab. Kalau dahulu saya bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan, sekarang semuanya lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.